Showing posts with label tips. Show all posts
Showing posts with label tips. Show all posts

Monday, April 27, 2015

Pelbagai teknik memancing di laut

Casting (teknik mengilat) adalah satu kaedah memancing dengan membuat lontaran umpan atau gewang ke sasaran kemudian mengarau kembali tanpa perlu menunggu umpan jatuh ke dasar atau diragut ikan.
Umpan yang digunakan untuk mengilat adalah seperti ikan, udang dan jenis serangga/haiwan. Umpan tiruan adalah replika gewang dan sesudu (spoon).
Ikan biasanya menerkam umpan atau gewang yang dilontar ketika proses mengarau. Teknik ini sesuai untuk aktiviti siang hari atau di kawasan terang. Jika mengilat sebelah malam, gunakan replika lut sinar.
Popping – Teknik ini lebih mirip seperti casting. Bezanya ialah penggunaan replika umpan tiruan yang berbeza. Teknik ini menggunakan ‘popper’ yang pelbagai bentuk dan jenis. Popper akan menghasilkan bunyi ‘poop’ ketika proses mengarau selepas lontaran.
Karauan untuk aktiviti popping lebih pantas berbanding casting supaya popper yang dikarau akan melanggar ombak/ permukaan air lalu mengeluarkan bunyi. Bunyi yang dihasilkan ini pula akan menarik perhatian ikan yang berkeliaran di kawasan berhampiran. Teknik ini boleh dilakukan siang atau malam.
Teknik ini banyak meniru pergerakan ikan terbang di permukaan air.
Jigging – Teknik ini mengilat secara mengujun (henjut) menggunakan umpan tiruan yang di panggil ‘jig’. Jig biasanya diperbuat daripada kepingan timah/objek berat kemudian dibentuk seperti ikan dan dicat dengan warna garang dan terang yang luminous atau lutsinar.
Teknik ini memerlukan ketekunan dan stamina tinggi kerana pemancing perlu beraksi sepanjang masa bagi mengunjun jig supaya ia menjadi efektif. Jig akan dihulurkan ke dasar kemudian dikarau kembali dengan kepantasan yang tinggi sambil mengujun joran berselang seli ketika proses karauan laju. Teknik yang menjadi kegilaan masa kini boleh dilakukan sama ada siang dan malam.
Bottom fishing – (pancing dasar) berkait rapat dengan teknik memancing menggunakan umpan dengan kaedah tradisional. Umpan perlu dilabuhkan ke dasar dengan sasaran tertumpu kepada spesies ikan dasar. Boleh dipraktikkan di kolam, sungai, tasik dan laut mengikut keadaan semasa. Sesuai dilakukan siang dan malam.
Drifting – (menghanyut) umpan terutama umpan hidup. Ia perlu dilepaskan ke sasaran tanpa menggunakan ladung. Pelampung dan belon sering digunakan. Ia sesuai di perairan yang berarus sederhana dan berangin. Boleh dilakukan siang dan malam.
Trolling – (menunda) umpan ikan, sotong mahupun gewang. Tundaan ini pada kelajuan perlahan antara 5 hingga 10 batu nautika sejam bergantung kepada jenis gewang yang digunakan. Perlu diketahui, ada gewang yang tidak boleh beraksi pada kelajuan tinggi dan sebaliknya. Lebih popular dilakukan siang hari.
Info dari - https://akilpancing.wordpress.com/

Teknik Apollo

1. Memancing di tebing berbatu adalah kawasan berpotensi menjinakkan ikan. Batu atau karang di kawasan itu menjadi kegemaran ikan berlindung dan memburu mangsa. Namun begitu, karang dan batu turut mendatangkan masalah kepada pemancing lebih-lebih lagi jika kita memancing dari tebing atau pantai. Masalah sangkut adalah lumrah di kawasan sebegini lebih-lebih lagi jika memancing dasar. Ia hampir tidak dapat dielakkan sepenuhnya jika kawasan batu itu mempunyai karang dan teritip. Walaupun tiada jalan penyelesaian mutlak, pemancing boleh mengamalkan beberapa teknik bagi menewaskan ikan batu karang di dasar. Antaranya:
a) Gunakan teknik pancing apollo di mana ladung di bahagian bawah sekali. Jika tidak ingin kehilangan ikan, tangsi yang diikat pada ladung harus lebih kecil daripada perambut untuk mata kail. Oleh kerana ladung mencecah dasar, risiko untuk sangkut adalah tinggi. Jika tersangkut, pemancing masih dapat mata kail mahupun ikan kerana tali yang lebih halus akan putus terlebih dahulu apabila tersangkut.
b) Teknik tanpa pemberat. Teknik ini lebih sesuai jika kawasan berkenaan lemah arusnya atau arus menolak ke arah laut. Umpan seperti isi ikan dipasang terus hingga menutupi seluruh mata kail dan di lontar ke sasaran. Umpan ini akan mengambil masa untuk sampai ke dasar. Ketika ia menjunam, umpan mudah menjadi sasaran ikan dan pemancing perlu mengarau tali jika terdapat tanda ia disambar. Sambaran dengan teknik pancing begini biasanya berlaku pertengahan air dan kawasan di mana kadar sangkut mata kail adalah minimum.
c) Teknik menggunakan pelampung. Untuk teknik memancing dasar menggunakan pelampung, pemancing harus bijak menentukan kedalaman air setempat. Untuk teknik ini, jika umpan dapat dilabuhkan kira-kira 1 hingga 3 kaki dari dasar maka potensi ia disambar adalah tinggi. Jika terlalu rendah atau jauh ke dasar kemungkinan sangkut adalah tinggi.

Tuesday, July 13, 2010

Antara Tips / Petua

Tips

ETIKA MEMANCING


  • Membawa balik ikan yang diperlukan sahaja.

  • Tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

  • Sentiasa meningkatkan ilmu memancing.

  • Mematuhi peraturan memancing dan pengendalian peralatan memancing.

  • Menghormati hak-hak pemancing lain.

  • Menghormati peraturan kolam atau lokasi pancing persendirian.

  • Menyebarkan pengetahuan sesama pemancing.

  • Menyokong usaha-usaha memelihara alam sekitar.

  • Tidak melepaskan ikan dan tumbuhan ke dalam lokasi pancing.

  • Berusaha membangunkan industri pancing.

KEKALKAN IKAN SEGAR

BAGI kaki pancing, apabila keluar memancing, tong air batu atau tempat Menyimpan ikan ibarat satu kewajiban. Jika tidak, ikan yang dikail cepat busuk. Ada beberapa tips untuk mengekalkan kesegaran ikan.
  • Menggunakan uncang jaring. Uncang biasa digunakan jika memancing di kawasan berhampiran rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam uncang jaring dan direndam semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Bagaimanapun saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang lima kilogram). Ikan bersaiz besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika meronta, jaring koyak dan ikan terlepas.
  • Paling biasa digunakan ialah kotak air batu. Ia paling banyak digunakan terutama jika memancing di laut untuk dua atau tiga hari. Ikan yang dikail terus dimasukkan ke dalam tong air batu supaya sentiasa segar walaupun sudah mati. Ada banyak saiz dan kualiti kotak menyimpan ikan yang diperbuat daripada gentian kaca atau plastik. Jadi berhati-hatilah jika membelinya. Biar alah membeli, menang memakai.
  • Banyak diamalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan lebih empat hari. Untuk membawa tong ikan adalah tidak praktikal kerana sukar mengangkutnya. Oleh itu, ikan yang dipancing perlu disiang termasuk membuang perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang dielak daripada terkena air. Ikan yang sudah disiang ditabur sedikit garam sebelum disimpan di dalam bekas simpanan, biasanya tin biskut. Selain itu, ada pemancing memasukkan surat khabar di dalam perut ikan yang disiang bagi mengelakkan ia menjadi busuk.
  • Membunuh segera ikan yang diperolehi. Cara ini banyak diamalkan terutama Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian Eropah. Caranya ialah membunuh ikan secara mengejut menggunakan besi tajam. Ikan itu dibunuh dengan menghentak besi tajam di bahagain kepala iaitu antara mata ikan berkenaan (di mana terletaknya otak). Dengan sekali hentakkan, besi tajam tadi akan menembusi tengkorak dan mencederakan ikan. Rasional cara ini ialah ikan yang mati secara perlahan akan mengeluarkan sejenis hormon dari otak. Hormon ini bertindak sebagai perangsang untuk mempercepat proses pereputan protein. Jadi, jika ikan mati secara mendadak, otak ikan tidak sempat merangsang pengeluaran hormon berkenaan. Bagaimanapun, cara ini hanya digunakan ke atas ikan yang besar sahaja.

LESUNG BATU RUMAH IKAN

MUNGKIN sukar bagi seorang pemancing untuk mencari lubuk ikan yang tidak pernah habis dengan ikan-ikan di dasarnya. Lazimnya kita biasa mendengar tayar atau kereta buruk dijadikan tukun untuk ikan berkampung di sekitarnya.
Mengikut petua, anda boleh membuat lubuk ikan anda sendiri tetapi mungkin mengambil masa yang agak lama. Dapatkan satu lesung batu yang sudah berlubang di bahagian tengahnya. Pastikan anda tidak membuat lubang dan ianya terjadi kerana sudah terlalu lama digunakan.
Campakkan lesung batu berkenaan ke mana-mana bahagian sungai yang anda suka, ikan akan berkumpul di situ.Kalau nak tahu cuba buat… 

JANGAN MELANGKAH JORAN

Mungkin ramai yang percaya apabila joran dilangkah, ia akan dilanda ’suwey’ dan joran tersebut sudah tidak ‘ong’ lagi. Amalan ini adalah perkara biasa kepada kaki pancing, tetapi masih ada yang tidak percaya dan tidak menghiraukan pantang larang tersebut.
Mereka menganggap ia cuma dusta orang-orang tua zaman dulu-dulu.Tidak dinafikan sesetengah pantang larang adalah untuk mendidik kita untuk tidak melakukan sesuatu yang tidak sopan dan sesetengah pantang larang pula adalah tahyul semata-mata.
Joran adalah sebuah alat yang digunakan sejak zaman nenek moyang kita lagi untuk mencari rezeki. Adalah tidak sopan untuk kita melangkah sebuah alat yang digunakan untuk mencari rezeki sama seperti kita melangkah sepinggan nasi yang kita ingin makan.
Walaupun pendekatan nenek moyang kita menggunakan pendekatan menakutkan kita dengan mengatakan apabila joran dilangkah rezeki sudah tidak datang, ia boleh menimbulkan keraguan kepada kita. Pada pokok pangkalnya mereka hanya ingin kita terus menghormati alat yang digunakan untuk mencari rezeki.
Kebanyakan pemancing kini sudah tidak menghiraukan kebanyakan pantang larang orang tua-tua dan sudah tidak berminat dengan pantang larang tersebut. Ambillah sesetengah pantang larang sebagai ikhtibar dan jangan mengambilnya bulat-bulat kerana boleh menyebabkan kita percaya kepada yang takhyul sebaliknya jadikannya bekalan ilmu kepada kita.

ASAM PENGUBAT MABUK LAUT

Memancing laut dalam adalah sangat menyeronokkan namun ia merupakan suatu dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi apabila mabuk laut. Laut yang bergelora dan ombak menghempas dikala panas terik menyebabkan para pemancing tumpas dek terkena mabuk laut.
Pelbagai petua dan tips yang digunakan pemancing termasuk menggunakan teknologi moden seperti ubat mabuk yang berada di pasaran. Kekurangan air didalam badan dan hempasan laut yang bergelora menyebabkan para pemancing boleh tumpas apatah lagi apabila kepanasan yang melampau waktu tengah hari melemahkan lagi mangsa mabuk laut.
Memakan buah yang masam dan minum air yang secukupnya boleh memberikan kelegaan kepada kaki pancing dari mabuk dan sekaligus dapat mengelakkan para pemancing dari terus mabuk dan membantutkan keseronokan memancing.
Membawa gula-gula dan sentiasa memastikan mulut tidak kering boleh mengelakkan dari mabuk dan memberikan keselesaan kepada badan para pemancing.
Para pemancing dinasihatkan meminum air secukupnya dan jangan biarkan perut kosong dan dalam berkeadaan letih. Walau perbagai dugaan untuk memancing, para pemancing adalah lasak dan akan terus berjaya untuk menaikkan tangkapan seterusnya tidak kira apapun dugaan yang mendatang.

Monday, February 8, 2010

Elakkan aktiviti tepat jam 12 tengahari, malam

MENGAMALKAN doa atau membaca ayat suci al-Quran sebelum melakukan perjalanan sama ada di darat ataun di laut adalah sebaik-baik amalan untuk keselamatan dalam setiap perjalanan.

Namun alam apa juga amalan petua adalah ikhtiar terbaik untuk diamalkan seperti lazim yang dilakukan oleh orang lama yang mengetahui rahsia tersembunyi yang jarang-jarang diketahui oleh kita selama ini.

Sebaik-baik amalan anda tidak digalakkan melakukan sebarang perjalanan sama ada di darat dengan kenderaan atau di laut tepat pada jam 12 tengahari kerana waktu itu syaitan sedang bermaharajalela justeru bergerak pada waktu begini (tepat jam 12 tengahari) sering dikaitkan dengan masa yang bahaya.

Namun dalam apa juga kepercayaan yang dikaitkan demi menjaga keselamatan dalam perjalanan, doa kepada Allah sebaik-baik amalan yang mesti dilakukan cuma sebagai ikhtiar pertua juga memainkan peranan atas izin Allah.

Atas hakikat ini Pak Nuri dan ramai rakan pancing yang mengetahui tidak melakukan waktu tepat pukul 12 tengahari sama ada siang atau malam untuk bergerak mulakan perjalanan sekalipun dalam keadaan tergesa-gesa.

Lakukan pergerakan pada waktu pukul 12.02 minit sebagai ikhtiar untuk menjamin keselamatan atas apa yang kita sudah ketahui tapi bagi anda yang sudah melakukan perjalanan sebelum itu anda boleh meneruskan perjalanan anda begitu juga bagi anda yang melepasi jam 12 tengahari boleh meneruskan perjalanan isyaAllah selamat.

Melalui pengalaman seorang pemancing yang kebetulan terlupa kerana tergesa-gesa ke lokasi pertama untuk bertemu dengan rakan pancing lain yang dijangka sudah menunggu, Kamarul meninggalkan rumahnya tepat jam 12 tengah malam.

Beliau tidak bertemu lokasi tempat rakan pancingnya menunggu, beliau berpusing jalan untuk masuk ke lorong lokasi tapi bertemu semula tempat mula beliau bergerak.

Akhirnya, beliau mengingati petua orang-orang tua dengan melaungkan azan sekuat-kuat suara beliau kemudian ditemui oleh rakan pancing yang berada tidak jauh dari tempat beliau disesatkan jalan oleh syaitan.

Justru atas peristiwa yang benar-benar berlaku pada Kamarul nyata waktu tepat jam 12 tengah malam adalah waktu tidak sesuai untuk memulakan sebarang aktiviti atau perjalanan.